Tuesday 12 March 2019

Projek EKSA akan datang: Pertanian Bandar (Go Green)

Program Pertanian Bandar merupakan program yang membantu isi rumah bandar meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri sebahagian daripada bahan makanan yang diperlukan melalui bimbingan Jabatan Pertanian. Program ini melibatkan penduduk di kawasan bandar dan pinggir bandar dengan kerjasama dan penglibatan pelbagai Jabatan dan Agensi yang berkaitan di peringkat Negeri dan Persekutuan.



Pengintegrasian pertanian dalam perancangan dan pembangunan perbandaran adalah penting untuk pembangunan mampan dari segi pelbagai aspek kehidupan dan keperluan kehidupan bandar termasuk bekalan bahan makanan, penghijauan persekitaran, pengurusan air dan bahan buangan bandar, pendidikan serta riadah.


  • Program dilaksanakan oleh penduduk di kawasan bandar dan pinggir bandar di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan.
     
  • Kawasan penanaman diberi fokus kepada kawasan sekeliling rumah, institusi, pejabat, tanah rezab Kerajaan dengan kebenaran bertulis daripada pihak berkenaan, kawasan tanah terbiar dan tanah yang sesuai mengikut tanaman.
     
  • Selain khidmat nasihat teknikal, pemberian insentif boleh dipertimbangkan sebagai galakan awal. Insentif adalah dalam bentuk benih/bahan tanaman, input, peralatan kecil pertanian serta kerja-kerja penyediaan kawasan.
     
  • Jabatan Pertanian Negeri berperanan menentukan kawasan aktiviti, jenis kategori dan tanaman berdasarkan kesesuaian kawasan.
     
  • Pelaksanaan program ini akan melibatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan, jabatan dan agensi yang berkaitan.

Program dilaksanakan mengikut kaedah ini dijangka mendapat outcome sebagaimana berikut :
 
  • Mengurangkan perbelanjaan keperluan dapur peserta projek.
     
  • Memanfaatkan kawasan lapang di sekeliling rumah.
     
  • Mengindahkan landskap kawasan.
     
  • Menimbulkan minat untuk bertani dan menjadikan bertani sebagai satu (1) hobi yang berfaedah.
     
  • Membantu menjamin keselamatan makanan.